Sejarah Kuala Tomani Mendapat Nama
Pada zaman dahulu kawasan ini tidak mempunyai nama. Apabila orang Murut berhijrah ke kawasan ini, mereka mula membina perkampungan dan mereka melihat banyak pokok nipah atau dikenali sebagai “talirus” dalam bahasa Murut. Pokok ini tumbuh meliar di kawasan perkampungan ini. Apabila pokok tersebut berbuah, buah nipah tersebut boleh membesar seperti betis manusia. Oleh yang demikian, orang Murut mengaitkan perkara itu sebagai tomani. Tomani bermaksud, betis manusia yang pandai membesar. Berpunca daripada peristiwa itu, kawasan tersebut dinamakan TOMANI.
Kampung Kuala Tomani dibuka pada sekitar tahun 1900-an semasa zaman kepahlawanan Dato Seri Antanom. Kampung Kuala Tomani merupakan salah sebuah perkampungan mukim Tomani yang terletak dalam daerah kecil Kemabong iaitu DUN N.36 Kemabong dan Parlimen P.181 Tenom. Kampung ini juga terletak di tepi jalan utama Ulu Tomani ke Pekan Tenom. Pekan kecil Kemabong merupakan pekan terdekat dengan kampung Kuala Tomani dengan jarak 9km manakala jarak dari Kuala Tomani ke pekan Tenom iaitu 45km. Kampung Kuala Tomani terdiri daripada enam rangkaian kampung iaitu Batu Pua, Tantalifon, Kaliwata Baru, Kaliwata Lama, Maanas dan Sinilaung.